Saturday, 29 December 2012

Pertandingan logo...jom join!!!!


Pertandingan ini adalah bersempena naik taraf Majlis Bandar Samarahan ke Majlis Perbandaran Samarahan. Pemenang akan menerima RM 3000.00. Untuk maklumat & penyertaan, anda boleh melayari : http://www.samarahandc.sarawak.gov.my/pertandingan%20cipta%20logo%20MPKS.pdf
Pertandingan ini akan berakhir 15 Jan 2013, hantar sebelum terlewat......

Corat - coret 9 : Logo Kedai Roti / 'Bakery'


Logo yang direka pada sekitar tahun 2005 ini adalah untuk sebuah kedai roti / bakery. Syarikat yang dibangunkan pada 2003 sebelum ini tidak mempunyai logo dan hanya menggunakan nama syarikat pada kesemua bahan promosi mahupun identiti korporatnya. Apabila mendapat tugasan ini, perkara pertama yang difikirkan adalah konsep rekaan logo yang mana ia harus bersesuaian dengan nama syarikat ini dan harus memberikan gambaran perkhidmatan yang disediakan. Pada mulanya, logo direka dengan konsep yang kontemporari dan ceria tetapi apabila mula berkembang dan dipersetujui pelanggan, ia masih mengekalkan konsep yang sama tetapi dengan tone yang lebih elegen.


Perkembangan dan perubahan konsep logo dari awal hingga ke logo akhir


Berdasarkan latar belakang syarikat, syarikat ini mendapat nama bersempena dengan nama pemilik syarikat ini sendiri dan ditambah nilai dengan gabungan perkataan ‘delicious’ iaitu sedap. Beberapa cadangan logo diberikan untuk penilaian daripada jenis logotype, emblem, dan logo kombinasi. Melalui proses ini, logo yang dipilih diperkembngkan lagi kepada beberapa kemungkinan rekaletak, visual dan warna sebelum dipilih sekali lagi sebagai logo akhir. Selain logo, syrarikat ini juga membuat rekaan beg plastik, identiti korporat dan sticker untuk ditampal pada pembungkusan roti.


Friday, 28 December 2012

Nota 9 : Contoh Analisis Logo

Dibawah berupa contoh bagaimana untuk menganalisa logo. Pada masa kini, rujukan rekaan logo amat mudah, capaian internet memungkinkan segala input yang ingin dicari lebih cepat. Walaubagaimanapun, rujukan yang banyak tidak menajamin logo yang bermutu sekiranya tidak dinilai dan dianalisa dengan baik. Rujukan dan analalisa logo adalah penting dalam memberi gambaran dan idea rekaan logo yang akan dibuat serta untuk mencari kelainan dengan apa yang telah ada / digunakan oleh pesaing mahupun syarikat lain.



Terdapat beberapa kriteria dalam menganalisa logo seperti penggunaan warna (colour usage), bentuk logo (shape), konsep & tema yang digunakan (Concept & theme), tipografi yang digunakan, subjek yan digunakan pada logo dan aspek formalistik. Dalam menganalisa tipografi, jenis huruf yang digunakan bukanlah ciri utama yang dicari tetapi lebih kepada bagaimana huruf yang digunakan pada logo seperti tebal atau tidak sesuatu huruf, saiz huruf, susun atur huruf dan 'legibility' iaitu boleh atau tidak perkataan sesuatu perkataan pada logo dibaca. Formalistik aspek pula biasanya menekankan kepada susun atur logo, keseimbangan logo iaitu simetri atau tidak (assymetrical), kontras warna dan tone atau mood yang ingin dismpaikan kepada audien.

Thursday, 27 December 2012

Nota 8 : Membentuk Perkembangan Logo Dari Subjek Kajian


Logo & subjek kajian (subject matter) adalah sesuatu yang berkait rapat yang mana subjek akan memberikan identity serta rasional kepada pembentukan asas logo.

Logo direka melalui perkembangan idea daripada sesuatu subjek kajian, oleh itu dalam memperkembangkan kepelbagaian kemungkinan bentuk logo bermula daripada beberapa kaedah iaitu pemahaman rupa (form), bentuk (shape) dan garisan (line). Dibawah ini merupakan contoh menembangkan idea untuk membentuk logo daripada satu subjek kajian (siput).


Jika asas pembentukan perkembangan logo diaplikasi, semua bentuk yang dikembangkan berpeluang untuk dijadikan logo akhir bergantung kepada kesesuaian / penerimaan pelanggan


  1. Idea daripada garisan subjek, seterusnya bentuk subjek dan yang akhir dibentuk dengan tambahan bentuk segiempat iaitu salah satu bentuk asas (basic shape)
  2. Idea daripada garisan subjek termasuk garisan tekstur, seterusnya bentuk subjek, seterusnya gabungan antara garisan dan bentuk tekstur dan yang akhir dibentuk dengan tambahan bentuk segiempat iaitu salah satu bentuk asas (basic shape) dan diperkembangkan lagi dengan penggayaan bentuk segiempat itu sendiri (seolah-olah sapuan berus cat)
  3. Idea daripada garisan subjek tetapi dengan garisan yang lebih natural, unsur garisan dan bentuk tekstur, gabungan olahan unsur garisan dan bentuk dengan bentuk asas subjek. Selepas itu barulah boleh difikirkan penggunaan & susun atur tipografi. Malah, idea akhir ini boleh diperkembangkan lagi dengan bermain dengan penggayaan garisan yang lebih cantik & bersesuaian dengan konsep yang iangin diketengahkan. (Cth diatas : Penggunaan 2 warna berlainan dengan garisan yang nampak seolah-olah alunan air)


Ini merupakan beberapa contoh perkembangan idea, yang penting adalah pemahaman pereka terhadap subjek kajian dan bermain dengan sebanyak kemungkinan perkembangan idea. Cuba bayangkan perkembangan idea diatas hanya mengambil kira 1 sudut subjek kajian, bagaimana jika ia dilihat daripada pelbagai sudut yang berlainan? Kita akan dapati idea ini dapat diperkembangkan dengan lebih banyak lagi…begitu juga dengan gabungan kepelbagaian bentukan asas (basic shape)

Asas perkembangan pembentukan sesuatu logo adalah 1. Garisan subjek, 2. Bentuk & rupa subjek, 3. Gabungan garisan dan bentuk subjek, 4. Gabungan subjek dengan bentuk asas (basic shape seperti tiga segi, segi empat, bulat etc)


Corat-coret 8 : Hasil pertandingan logo yg WT*

Jika ada antara kita yang pernah memasuki pertandingan logo, keputusan perjurian adakalanya membuatkan pesertanya keliru. Apakah kriteria yang dipilih? Antara yang terbaru adalah pertandingan logo inovasi anjuran satu organisasi kerajaan yang mana pemenang bagi pertandingan logo ini seperti ada yang tidak kena yang mana jika dilihat secara keseluruhan, ada logo yang lebih baik untuk diangkat menjadi logo terbaik mahupun tempat kedua dan seterusnya. 

Yang menjadi persoalan bukanlah rekaan logo peserta kerana latar belakang setiap pereka logo tidak diketahui (umur, latar pekerjaan, demografik etc), oleh itu hasil rekaan logo adalah berdasarkan pemerhatian serta pemahaman mereka terhadap pertandingan logo ini. Oleh itu, yang menjadi persoalan adalah perjurian....yang mana siapa mereka? dan apakah latar mereka? Inilah akan berlaku jika pemilihan logo seperti membaca karangan yang mana logo direka dengan visual setiap satu rasional, bukan representatif sesuatu perkara. Logo sepatutnya seperti tajuk karangan yang mana ia menceritakan keseluruhan cerita, bukan pengisian karangan yang dijadikan tajuk.


Tiga logo besar pada bahagian atas merupakan pemenang logo tempat pertaman hingga ketiga manakala yang dibawahnya antara rekaan logo yang dihantar oleh peserta pertandingan

Kita boleh menilai sendiri apakah yang dimaksudkan dengan logo. Jika terlalu banyak elemen yang diketengahkan beserta dengan typografi yang merata, sudah tidak boleh diangap seperti logo, tetapi seperti susun atur grafik semata seperti yang terjadi pada logo hari kebangsaan yang ke 55.

Friday, 21 December 2012

Corat-coret 7 : logo Sukipt 2012 yg ciplak

Sukipt 2012 yang dianjurkan oleh KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) telah pun berlangsung dengan jayanya. Tetapi, apa yang diperhatikan sejak awal samada kebanyakan daripada kita sedar ataupun tidak adalah rekaan logonya yang sememangnya 'ciplak' daripada yang telah ada di alam maya (internet). Yang menjadi persoalan adalah, mengapa pihak penganjur tidak mengambil kira keaslian logo yang digunapakai untuk acara sebesar ini? atau sengaja malas hendak ambil tahu? dan siapa pula yang merekanya? Adalah memalukan acara peringkat kebangsaan ini tidak dijenamakan dengan baik dan asli. Lihat sahaja perbezaan logo dibawah ini....

Logo Sukipt yang tibak banyak beza dengan logo yang di'ciplak'nya

Logo yang ditiru ini adalah logo rasmi untuk pembidaan Sukan Olimpik musim sejuk (Winter Olympic 2014) oleh negara Rusia, yang mana warna- warna yang digunakan adalah berasaskan unsur alam (seperti yang dibawah) dan diilhamkan daripada bulu-bulu 'firebird' (cerita dongeng tempatan negara Rusia). Ia direka oleh Transformer Studio, Moscow. Untuk lebih pembacaan, anda boleh melayari : http://www.behance.net/gallery/Sochi-2014-Winter-Olympics-Official-Logo-Bid/355269

Apa yang membezakan dua logo ini hanya penggunaan mukahuruf yang berbeza dan bentukan tekstur bulu yang tiada pada logo Sukipt.





Tuesday, 18 December 2012

Nota 7 : Logo & bentuk asas


Asas rekaan logo selain daripada pemilihan subjek adalah bentukan asasnya. Dimana, bentukan asas ini akan menjadi panduan kepada bentuk keseluruhan logo. Dibawah ini, ada beberapa contoh rekaan logo dan bentukan asasnya. Bentukan paling mudah dalam pembentukan logo ini adalah bentuk bulat, segiempat dan tiga segi. Terdapat juga bentukan logo yang organik seperti bentuk-bentuk yang diilhamkan terus dari subjek (cth: dari alam semulajadi (cth dibawah : Residence Inn))..

Beberapa contoh logo dan bentukan asasnya

Bentuk-bentuk asas sesuatu logo ini juga tidak semestinya direka dari satu bentuk tetapi terdapat juga daripada beberapa bentuk seperti contoh diatas. Dibawah ini pula, beberapa contoh lakaran awal bagaimana bentuk asas logo diaplikasi bersama subjek yang mana bentuk asas ini dilakar awal sebelum subjek dilukis. Contoh dibawah diambil dari Mazlan Abdullah, Aniq Syazwan Shah & Khairol Amirin.
Bentuk-bentuk asas merupakan panduan penting dalam mengembangkan kepelbagaian idea rekaletak dan bentukan logo itu sendiri.


Contoh lakaran dan logo akhir

Saturday, 3 November 2012

corat-coret6 : logo falak syarie neg. melaka


Pertandingan yang dianjurkan pada tahun 2011 ini­ merupakan pertandingan terbuka yang mana peserta perlu mereka semula / ‘re-design’ logo persatuan falak syarie negeri melaka. Oleh itu, perkara pertama yang perlu dikenal pasti adalah permasalahan daripada logo lama dan bagaimana serta pendekatan yang boleh memberi penyelesaian kepada rekaan logo lama persatuan ini.

Oleh itu, kajian terhadap logo-logo astronomi perlu untuk mendapatkan idea visual dan warna. Kajian terhadap bentuk-bentuk atau corak arabesque yang sememangnya dekat dengan ciri-ciri kesenian Islam juga dilakukan bagi mendapatkan tema pada logo yang akan dibuat. Oleh itu, beberapa tema melalui kajian dipilih iaitu khat khufi, corak arabesque dan arch / pintu gerbang seni bina Islam.

Beberapa percambahan idea untuk dijadikan rujukan logo


Melalui tema-tema yang telah dipilih, logo direka mengikut kesesuaian dan ditambah dengan visual-visual astronomi untuk memudahkan pemahaman audien kepada maksud logo (falak : astronomi) melainkan logo yang hanya menggunakan tulisan khufi. Logo tulisan khufi ini sebaliknya tidak direka menggunakan ayat semata-mata tetapi dibentuk dengan corak arabesque supaya tampak lebih berpenampilan ( stylized ). Logo bertemakan Jawi khufi ini dicipta bersama dengan Cik Azni. Malah, tidak lengkap rasanya jika logo persatuan ini tidak ditampilkan bersama dengan tulisan Jawi yang menjadi nadi tulisan Melayu dan begitu sinonim dengan agama Islam.

Setelah itu, beberapa susunan, penggayaan dan pewarnaan juga dilakukan bagi setiap tema logo untuk mendapatkan rekaan yang dirasakan paling layak untuk dijadikan komprehensif.


Elemen angkasa lepas bersama pancaran matahari menjadi visual sokongan pada logo bertemakan 'arch'


Setelah itu, logo bertemakan arch / pintu gerbang seni bina Islam dan khat khufi menjadi pilihan juri tetapi dengan beberapa penambahbaikan yang mana pihak penganjur mahupun elemen teleskop / pencerap diletakkan pada logo dan perubahan warna pada beberapa tempat. Elemen ini penting bagi mereka kerana ia adalah visual utama kepada audien untuk memahami fungsi dan makna persatuan ini.

Penambahan teleskop dan warna hijau menjadi pilihan penganjur untuk dijadikan logo akhir

Tuesday, 16 October 2012

Nota 6 : Jenis-jenis logo


Setiap logo yang direka perlu diketahui fungsinya (sebagai logo produk @ logo korporat @ logo peristiwa / event). Setelah itu, jenis logo yang ingin direka perlu ditentukan. Sebagaimana yang diketahui ramai, logo boleh dikategorikan kepada 3 jenis iaitu logo kombinasi, logo huruf dan logo simbol.

Logo Huruf / Logotype

Logo kategori ini diterjemah hanya menggunakan tulisan atau huruf sesuatu jenama / nama syarikat / nama peristiwa. Ia nampak mudah namun ciri penting logo ini adalah kaedah pengayaan tulisan yang unik. Ia perlu tampak perbezaan dari segi bentuk, saiz, gaya dan yang paling penting sesuai untuk golongan sasaran.

Penggayaan yang sesuai akan menampakkan mesej yang ingin disampaikan seperti tulisan yang tebal (bold) memebri maksud kekuatan, kekuasaan serta penegasan manakala tulisan yang direka secara ‘italic’ menggambarkan kelajuan serta pergerakan.

Logo jenis ini mudah diingati dan menarik perhatian jika direka dengan kombinasi yang tepat (warna, jenis tulisan, saiz dan rekaletak yang bersesuaian).

logo huruf mudah untuk difahami hanya melalui pembacaan


Logo Simbol / Symbolic @ Iconic Logo

Logo ini hanya menggunakan idea abstrak atau perwakilan subjek dalam mewakili sesuatu servis atau organisasi. Penggunaan logo jenis ini perlu direka dengan maksud yang jelas kerana ia tidak direka dengan kombinasi tulisan / huruf. Oleh itu, pemilihan subjek adalah penting dalam memberi tafsiran yang jelas terhadap sesuatu organisasi. Oleh itu, ciri-ciri yang perlu ada pada logo jenis ini adalah :

            - Perlu mudah dikenali dan diingati
            - Jelas dan ringkas dalam pelbagai skala saiz
- Boleh diwakili dalam pelbagai bentuk samada abstrak, alam semulajadi atau kebendaan

Logo ikon perlu direka dengan menyampaikan mesej yang jelas dan ia banyak digunakan organisasi yang telah dikenali / 'well established company'


Logo Kombinasi / Combination Logo

Logo dalam kategori ini adalah yang paling banyak digunakan dan dapat dilihat dimerata tempat. Ia adalah gabungan antara tulisan / huruf dengan subjek / simbol yang mewakili jenama atau organisasi. Gabungan antara dua ini haruslah memberi gambaran imej yang ingin disampaikan kepada golongan sasaran. Perkara yang baik tentang logo jenis ini adalah ia lebih mudah diterima ramai kerana bukan sahaja diwakili dengan subjek yang menarik tetapi ia mudah difahami dengan kehadiran tulisan (nama organisasi / jenama) yang secara tidak langsung menjelaskan subjek / simbol pada logo.

Logo jenis ini pula boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu logo kombinasi yang mana subjek digabungkan secara terus dengan tulisan dan logo kombinasi yang terpisah antara subjek dengan tulisan.


Bahagian atas : Logo kombinasi secara gabung, Bahagian bawah : Logo kombinasi secara terpisah

Monday, 8 October 2012

Corat-coret 5 : Tunas Ilham 10



Tunas Ilham 10 merupakan acara dwi tahunan ( 2 kali setahun ) yang dianjurkan oleh Fakulti Seni Lukis & Seni Reka yang lebih dikenali sebagai pameran diploma. Pameran ini bertujuan mengiktiraf idea-idea kreatif para pelajar FSSR tahun akhir dalam mengetengahkan pelbagai idea-idea baru.

Untuk kali ke-10 ini, konsep yang dipilih adalah ilusi, oleh itu permainan garisan menjadi elemen penting dalam merealisasikan idea ini. Logo ini direka oleh salah seorang pelajar tahun akhir Seni Reka Grafik & Media Digital iaitu Firdaus Kamarudin. Pemilihan warna terang dan lari dari kebiasaan menjadi satu 'trademark' kepada jenama tunas ilham pada kali ini.

Tuesday, 25 September 2012

logo UiTM & logo FSSR Melaka

Disini saya ada sertakan 2 logo yang selalu digunakan untuk dijadikan 'cover' / muka depan projek. Daripada para pelajar menggunakan logo yang beresolusi rendah, logo yang diberi ini adalah lebih baik untuk digunakan..... TQ



logo FSSR Melaka (PNG)




Logo UiTM (PNG)


Sunday, 23 September 2012

Corat-coret 4 : Logo Dewan Taming Sari


Logo dewan taming sari ini digunapakai secara rasminya pada hari perasmian Dewan Taming sari oleh Rektor UiTM Cawangan Melaka pada 28 Oktober 2011.

Logo ini hanya mengambil masa kurang seminggu sahaja untuk disiapkan sebelum dipersetujui oleh Rektor. Mesyuarat mengenai rekaan logo ini diadakan pada 11 Oktober 2011, dan perlu dibuat dalam masa 2 hari untuk pembentangan. Logo ini perlu dihasilkan dalam masa kurang seminggu kerana ia akan digunakan pada kain rentang, hiasan dewan, montaj, buku program dan sebagainya.

Selain saya, pada ketika itu, En. Riduan Salleh ada juga mencadangkan beberapa idea untuk diketengahkan untuk dinilai. Setelah itu, Datuk Rektor setuju untuk memilih logo yang mempunyai subjek keris yang ringkas dan ia begitu signifikan dengan UiTM kerana logo UiTM sendiri mempunyai perlambangan keris sebagai symbol perjuangan bangsa Melayu.


Dengan logo yang mempunyai subjek keris, idea itu kemudiannya diperkembangkan lagi supaya tampak lebih teguh dan moden. Malah penggunaan perkataan Jawi pada logo tampak lebih menarik untuk digunakan dan ia perlu ditonjolkan sebagai identityi Melayu itu sendiri selain subjek keris.


Oleh itu, rujukan mengenai logo-logo moden yang ringkas dijalankan sebelum beberapa rujukan logo yang mempunyai tema / unsur garisan menjadi pilihan. Agak sukar pada mulanya untuk membentuk keris supaya tidak nampak tipikal seperti yang selalu dilihat kerana dikhuatiri konsep moden pada logo ini menghilangkan cirri-ciri bentuk keris itu sendiri. Setelah beberapa bentukan dibuat, elemen garisan yang banyak boleh digunapakai kerana tampak teguh untuk disertakan dengan Jawi khat khufi.



Setelah itu, bermula pula fasa untuk mempelbagaikan rekaletak dan juga warna. Pada awalnya warna-warna yang digunapakai adalah warna yang flat tetapi apabila membuat pembentangan dengan Rektor, warna ‘gradient’ dicadangkan untuk digunapakai supaya logo kelihatan sedikit lembut dan tidak terlalu keras.


Jika berkesempatan, montaj perasmian logo ini akan saya masukkan dalam post seterusnya... : )

Thursday, 20 September 2012

Nota 5 : Logo Syarikat & Logo Produk


Logo sememangnya berfungsi sebagai tanda pengenalan atau identity kepada suatu produk mahupun syarikat. Ia adalah isyarat wujudnya perbezaan antara sesuatu syarikat atau produk dengan yang lain tidak kira dari segi bentuk, warna, mukahuruf atau subjek logo walupun sesuatu jenama atau syarikat itu menjual /  memberikan servis yang sama.

Perbezaan ketara antara dua logo ini adalah penggunaan perkataan atau mukahuruf yang ada pada logo yang mana jika bercakap mengenai logo sesuatu jenama produk ia haruslah hadir dengan huruf / ‘wording’ @ nama sesuatu jenama itu. Walaubagaimanapun, jenama yang telah dikenali ramai seringkali hadir tanpa mukahuruf atau nama produk kerana pengguna telah dididik melalui ikon yang mewakili sesuatu jenama itu seperti nike dan adidas.


Berbeza dengan logo syarikat, ia boleh hadir secara ikon / symbol sahaja, mukahuruf sesuatu jenama sahaja atau kombinasi antara keduanya ( ikon dan juga mukahuruf). : Seperti contoh pada logo nestle dibawah.


Untuk lebih jelas, logo syarikat kebiasaannya lebih dikenali sebagai logo korporat yang mana logo ini menjurus kepada operasi sesuatu syarikat itu. Manakala logo produk pula adalah logo yang diletak pada pembungkusan yang mewakili produk yang dijual oleh sesuatu syarikat. Bagi syarikat-syarikat besar yang mempunyai pelbagai jenama produk, ia akan mempunyai pelbagai jenis logo produk seperti syarikat nestle yang mengeluarkan pelbagai jenama / produk seperti milo, Nescafe,maggi, kitkat dan sebagainya. Oleh itu, pada kebiasaanya logo syarikat akan disertakan pada pembungkusan juga disamping logo jenama / produk walaupun pada kadar yang lebih kecil sebagai tanda pihak pengeluar / identity pengeluar. Dengan kata lain, logo syarikat adalah ibu kepada logo-logo jenama /produk yang boleh dinggap sebagai anak-anak.

Logo Nestle ini jika diteliti mempunyai 3 kaedah penggunaaanya, 1) logo penuh (kombinasi simbol n mukahuruf) 2) Logo berserta slogan 3) Mukahuruf sahaja : untuk memudahkan aplikasi pada jenama-jenama produk keluarannya

Oleh itu, jika dinilai dengan mata kasar, logo jenama / produk ini lebih ‘fancy’ dengan penggunaan warna yang lebih pelbagai tidak seperti logo sesebuah syarikat yang seperti kita tahu perlu lebih praktikal dari segi penggunaan warna, kadar penggayaan (stylization) dan sebagainya kerana ia tidak boleh direka untuk mewakili satu jenama / produk sahaja tetapi menyeluruh. Apa yang penting dalam mereka logo jenama / produk ini adalah nama ia yang direka menggunakan mukahuruf yang dapat mewakilinya sebagai satu identity dan berbeza dengan mukahuruf-mukahuruf jenama pesaing yang lain.

Dalam satu jenama, terdapat pula rangkaian produk seperti kajian kes Milo : Beberapa sub-produk yang menggunakan jenama yang sama tetapi dengan penambahan 'wording' mengikut kategori seperti Milo Fuze, Milo Sejuk, Milo Nugget & sebagainya.

Ada juga yang kadangkala keliru dengan adakah perlu ‘subject matter’ dalam membuat logo jenama? Seperti sedia maklum, buat dahulu rujukan logo berkaitan produk / servis yang sama untuk mengetahui aliran sesuatu logo itu dan melaluinya, penilaian dapat dibuat dengan mudah untuk menggunakan subjek pada sesuatu logo jenama itu mahupun tidak perlu.

Wednesday, 19 September 2012

color theory and psychology

Malas nk bercerita panjang, jika ingin mencari maksud penggunaan warna mahupun kategori warna seperti warna-warna panas atau sejuk serta sebagainya, dibawah saya ada sertakan beberapa laman web yang boleh dilayari untuk dijadikan rujukan terutamanya dalam memberi signifikan atau maksud warna dalam rekaan logo...

http://www.colourlovers.com/
- menerangkan bagaimana untuk menggunakan skim warna yang bersesuaian

http://www.tigercolor.com/color-lab/color-theory/color-theory-intro.htm
- Menerangkan mengenai teori warna asas, sekunder dan ketiga /tertiar serta kategori warna-warna sejuk atau panas

http://www.colour-affects.co.uk/psychological-properties-of-colours
http://www.precisionintermedia.com/color.html
- Menerangkan warna dari aspek psikologi

dan banyak lagi sebenarnya web-web yang menarik untuk dijadikan rujukan...jika anda ada web / rujukan tersendiri bolehlah berkongsi disini... : )

Tuesday, 18 September 2012

Logo 'cute' lagi


Ini merupakan post kedua berkaitan logo-logo yang ringkas / 'simple' tetapi menarik. Jika dilihat secara teliti, logo-logo yang menarik ini menggunakan kaedah 'stylization' / penggayaan yang maksimum, rekaetak mukahuruf yang sesuai dan penggunaan warna yang minimum namun masih mengikut konsep yang digunapakai. Jenis logo yang banyak digunapakai adalah jenis kombinasi samada simbol/ ikon digabungkan bersama dengan mukahuruf ataupun diletakkan secara pisah dengan mukahuruf.

Contoh 1 : Logo Seashells 
                    - Subjek : Seashells & ombak yang dibentuk huruf 'S'
                    - Konsep : Moden & kontemporari
                    - Tema : Lautan
                    - Rekaletak yang ringkas, penggunaan mukahuruf yang jelas (kerana simbol logo telah        
                      direka dengan agak 'intricate' / rumit) untuk menyeimbangkan rekaan logo.

Contoh 2 : Windpoppy
                    - Subjek : Bunga tulip
                    - Konsep : Moden & kontemporari
                    - Tema : Bunga / alam
                    - Penggunaan mukahuruf yang bertepatan yang mana ia direka untuk digabungkan 
                      bersama dengan subjek (bunga tulip) dan huruf 'd' & 'p' direka serta diubah menjadi 
                      bentukan daun kepada subjek.




Sebenarnya, banyak lagi contoh logo-logo yang menarik jika rajin membuat rujukan secara talian mahupun melalui buku-buku. Melalui kajian / perhatian sebegini, penilaian kepada sesuatu logo dapat dilihat dengan lebih jelas dan diperbandingkan untuk dijadikan rujukan pada kemudian hari.

Monday, 17 September 2012

Nota 4 : Rasional Logo


Dalam membentangkan sesuatu rekaan logo, rasional yang disertakan / dibentangkan adalah amat penting dalam memberi sokongan serta penilaian sesuatu logo. Logo adalah salah satu rekaan bersifat komunikasi yang mana setiap warna, rekaletak, bentuk, subjek serta tulisan yang digunapakai haruslah mewakili sesuatu jenama / syarikat itu.

Seringkali logo yang direka hanya difikirkan bentuknya sahaja walhal mengenali sesuatu jenama / syarikat itu dahulu adalah amat penting seperti visi, misi, objektif atau tujuan sesuatu logo itu. Melalui kajian-kajian yang mendalam dalam memahami sesuatu jenama / syarikat itu, bentukan logo akan menjadi lebih mudah kerana pereka telah ‘faham’ dan ‘kenal’ dengan kajian kes. Melalui kajian sebegini, permasalahan dapat dikenal pasti dengan jelas lebih-lebih lagi jika membuat rekaan semula / ‘re-design’ sesebuah logo itu.

Dalam membuat rasional logo, ada beberapa kriteria atau perkara yang perlu diketengahkan untuk pemahaman serta meyakinkan pihak lain. Pada kebiasaannya, rasional logo dibahagikan kepada dua bahagian :

1)    Bahagian pertama memberi keterangan logo secara umum yang mana pada bahagian ini, aspek formalistik, konsep, tema dan ‘tone’ yang ingin disampaikan dijelaskan. Malah kadangkala, golongan sasaran logo juga perlu diterangkan secara spesifik.
2)    Manakala bahagian  kedua pula dipecah-pecahkan mengikut rekaan logo seperti subjek logo, bentuk logo dan tulisan yang digunapakai. Malah terdapat juga yang dipecahkan mengikut warna.
                         * seperti contoh yang diberikan




Dalam memberi keterangan pada logo, adalah amat penting dalam memberikan input yang jelas dan mudah difahami selain berkait rapat dengan sesuatu jenama / syarikat itu dan apa yang penting adalah bagaimana perbezaan logo yang direka berbanding pesaing ataupun logo yang telah sedia ada.

Logo ini direka pada tahun 2005 untuk ‘saloon’ yang terletak di JB selain daripada ‘stationery set’ dan iklan.

Logo ini direka pada tahun 2004 untuk pertandingan logo Pelancongan Melaka’ dan mendapat tempat kedua : )    

Friday, 14 September 2012

Pertandingan logo


Tarikh tutup : 24 Sept. 2012

Hadiah Utama : RM 5,000.00
3 Hadiah saguhati : RM 500.00

Untuk keterangan lanjut : www.mrm.gov.my

Thursday, 13 September 2012

Corat-coret 3


Industri kreatif dipertingkat


Oleh Shahrizan Salian


Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak melancarkan MyCreative Ventures Sdn Bhd, cabang pelaburan kerajaan yang bermatlamat meningkatkan industri kreatif tempatan ke tahap lebih tinggi.

Anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan pada 20 April lalu itu menerima peruntukan RM200 juta, yang akan dilabur menerusi ekuiti atau pinjaman kepada syarikat kreatif tempatan berdaya maju.

Perdana Menteri berkata, inisiatif itu akan memberi nafas baru kepada industri kreatif tempatan di samping meningkatkan lagi standard serta kepentingannya kepada ekonomi negara.


“Dengan adanya MyCreative Ventures, usahawan boleh mendapatkan modal sama ada dalam bentuk ekuiti atau pinjaman.

“Modal itu menyediakan peluang kepada idea baru untuk diketengahkan dalam bentuk model perniagaan berdaya maju dengan potensi menjana pendapatan,” katanya berucap melancarkan MyCreative Ventures di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Pengerusi MyCreative Ventures, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan dan Ketua Eksekutif MyCreative Ventures, Johan Mohamed Ishak.

Kembangkan bakat Najib berkata, kreativiti boleh dianggap bakat yang ada pada ramai rakyat Malaysia. Namun, bakat yang tidak diberi peluang berkembang akan membuatkannya terpendam atau terbatas.

“Sesuatu perkara itu perlu mempunyai nilai kreativiti, namun ia perlu bersandarkan kepada model perniagaan mapan, jika tidak semua yang diusahakan tidak berguna. Di sinilah letaknya hasrat kerajaan untuk memajukan industri kreatif tempatan,” katanya.

Najib berkata, menerusi MyCreative Ventures, kerajaan akan dapat mengukuhkan perjuangan industri kreatif di negara ini dengan sokongan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN).

Tertarik pemikiran kreatif

“Industri kreatif yang dimaksudkan itu terdiri daripada bidang seni visual, seni persembahan, muzik, kesusasteraan, kandungan kreatif seperti animasi dan perfileman, seni fesyen dan rekaan serta seni tradisional seperti kraf tangan, batik dan sebagainya,” katanya.

Cadangan menubuhkan MyCreative Ventures itu juga katanya, disebabkan beliau sendiri tertarik dengan corak pemikiran kreatif, khususnya jika ada masalah yang memerlukan penyelesaian secara kreatif.

Pemikiran secara konvensional, katanya bermakna sesuatu penyelesaian itu tidak dapat dicapai secara optimum, berlipat ganda serta kreatif.

“Sebagai manusia, daya imaginasi kita tiada batasnya. Kita mampu mencetuskan idea yang kreatif walaupun pada mulanya dianggap pelik, namun akhirnya jika yakin dengan idea itu, ia pasti membuahkan kejayaan,” katanya.

Beliau memberi contoh kejayaan lagu rap terkenal Korea Selatan, Oppa Gangnam Style oleh PSY yang berjaya menarik 149 juta tontonan di YouTube sehingga dijadikan modal kempen calon presiden Amerika Syarikat dari parti Republikan, Mitt Romney.

“Kita lihat kejayaan Korea yang sebelum ini terkenal dengan bidang perindustrian dan teknologi dapat membangunkan bidang kreatif ‘K-Pop’ hingga mendapat tempat di persada antarabangsa,” katanya.

Rujukan :  http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Industrikreatifdipertingkat/Article

Nota 3 : Logo guidelines

Dalam merekabentuk logo, adalah menjadi satu keperluan untuk syarikat-syarikat mempunyai satu manual korporat / 'corporate manual' dalam memberi garis panduan mengenai penggunaan logo syarikat pada bahan cetak mahupun media baru selain daripada kaedah penggunaan logo pada 'stationery set'. Ia meggariskan saiz, warna, rekaletak, jenis mukahuruf serta menyenaraikan bahan-bahan / 'item' yang digunakan oleh syarikat yang mengandungi logo, slogan mahupun elemen sokongan dalam rekaan.

Bab penting dalam manual korporat adalah garis panduan logo atau 'logo guidelines' yang mana ia menceritakan dengan jelas mengenai logo syarikat daripada rasional hinggalah kepada perbandingan logo syarikat dengan pesaing. Ia memberi panduan yang jelas terhadap logo syarikat supaya dapat menjaga 'brand mark' sesuatu syarikat tanpa cacat cela. Dibawah adalah contoh 'logo guideline' yang dapat memberikan gambaran / contoh untuk dikongsi ....

Mukasurat pertama dimulakan dengan pengenalan fungsi
manual korporat dan sedikit latar belakang syarikat

Mukasurat 2 & 3 pula memerikan gambaran jelas mengenai rasional logo dan menceritakan serba sedikit subjek yang digunapakai selain penggunaan war serta mukahuruf yang betul

Mukasurat 4 & 5 pula menggariskan warna dalam variasi yang dibenarkan serta
kaedah penggunaan logo yang betul 

Mukasurat 6 & 7, amat penting dalam memberi panduan skala logo yang betul menerusi skala logo yang boleh digunapakai serta dalam bentuk graf

Mukasurat akhir pula memberikan gambaran mengenai kesesuaian serta perbezaan logo syarikat
dengan syarikat sedia ada

Walaubagaimanapun, susun atur korporat manual adalah berbeza begitu juga dengan informasi yang disampaikan mengikut keperluan. Informasi atau garis panduan juga berbeza-beza mengikut kehendak / keperluan logo dna juga kehendak pelanggan atau pereka. Dibawah adalah contoh yang sedikit berbeza dengan contoh diatas bagi mukasurat 4 & 5 yang mana, ada sesetengah syarikat yang tidak mahu logo mereka digunakan secara skala kelabu / 'greyscale' dan ada syarikat yang membenarkan 'ikon' pada logo mereka digunakan tanpa nama syarikat atau 'wording'.




Saturday, 8 September 2012

Corat-coret 2 : Green Leaf Nursery Stationery Set

Kajian Kes : Green Leaf Nursery
Konsep : Kontemporari
Tema : Alam semulajadi / Tumbuh - tumbuhan

Warna korporat : Hijau pucuk pisang & coklat
Slogan : 'from pot to your house'

Subjek logo : Penyiram pokok
Elemen sokongan : Dedaunan pokok dengan teknik 'doodle' - bersesuaian dengan konsep kontemporari pada logo













Friday, 7 September 2012

Logo & stationery set

Apabila bercakap tentang logo, sudah tentu perkara seterusnya adalah pengaplikasiannya terhadap bahan-bahan / perkara yang lainnya seperti pada rekaan kepala surat (letterhead), samput surat (envelope), kad nama (name / business card), invois (invoice), resit (receipt), folder dan sebagainya.
Dibawah adalah beberapa contoh 'stationery set' yang menarik untuk dijadikan rujukan..enjoiceee.... : )












Apa yang penting jika diteliti pada rekaan 'stationery set' sesebuah syarikat itu adalah elemen sokongan / 'supporting elements' yang membantu dalam menyampaikan dan menguatkan lagi konsep sesebuah logo itu.