Thursday, 13 September 2012

Corat-coret 3


Industri kreatif dipertingkat


Oleh Shahrizan Salian


Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak melancarkan MyCreative Ventures Sdn Bhd, cabang pelaburan kerajaan yang bermatlamat meningkatkan industri kreatif tempatan ke tahap lebih tinggi.

Anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan pada 20 April lalu itu menerima peruntukan RM200 juta, yang akan dilabur menerusi ekuiti atau pinjaman kepada syarikat kreatif tempatan berdaya maju.

Perdana Menteri berkata, inisiatif itu akan memberi nafas baru kepada industri kreatif tempatan di samping meningkatkan lagi standard serta kepentingannya kepada ekonomi negara.


“Dengan adanya MyCreative Ventures, usahawan boleh mendapatkan modal sama ada dalam bentuk ekuiti atau pinjaman.

“Modal itu menyediakan peluang kepada idea baru untuk diketengahkan dalam bentuk model perniagaan berdaya maju dengan potensi menjana pendapatan,” katanya berucap melancarkan MyCreative Ventures di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Pengerusi MyCreative Ventures, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan dan Ketua Eksekutif MyCreative Ventures, Johan Mohamed Ishak.

Kembangkan bakat Najib berkata, kreativiti boleh dianggap bakat yang ada pada ramai rakyat Malaysia. Namun, bakat yang tidak diberi peluang berkembang akan membuatkannya terpendam atau terbatas.

“Sesuatu perkara itu perlu mempunyai nilai kreativiti, namun ia perlu bersandarkan kepada model perniagaan mapan, jika tidak semua yang diusahakan tidak berguna. Di sinilah letaknya hasrat kerajaan untuk memajukan industri kreatif tempatan,” katanya.

Najib berkata, menerusi MyCreative Ventures, kerajaan akan dapat mengukuhkan perjuangan industri kreatif di negara ini dengan sokongan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN).

Tertarik pemikiran kreatif

“Industri kreatif yang dimaksudkan itu terdiri daripada bidang seni visual, seni persembahan, muzik, kesusasteraan, kandungan kreatif seperti animasi dan perfileman, seni fesyen dan rekaan serta seni tradisional seperti kraf tangan, batik dan sebagainya,” katanya.

Cadangan menubuhkan MyCreative Ventures itu juga katanya, disebabkan beliau sendiri tertarik dengan corak pemikiran kreatif, khususnya jika ada masalah yang memerlukan penyelesaian secara kreatif.

Pemikiran secara konvensional, katanya bermakna sesuatu penyelesaian itu tidak dapat dicapai secara optimum, berlipat ganda serta kreatif.

“Sebagai manusia, daya imaginasi kita tiada batasnya. Kita mampu mencetuskan idea yang kreatif walaupun pada mulanya dianggap pelik, namun akhirnya jika yakin dengan idea itu, ia pasti membuahkan kejayaan,” katanya.

Beliau memberi contoh kejayaan lagu rap terkenal Korea Selatan, Oppa Gangnam Style oleh PSY yang berjaya menarik 149 juta tontonan di YouTube sehingga dijadikan modal kempen calon presiden Amerika Syarikat dari parti Republikan, Mitt Romney.

“Kita lihat kejayaan Korea yang sebelum ini terkenal dengan bidang perindustrian dan teknologi dapat membangunkan bidang kreatif ‘K-Pop’ hingga mendapat tempat di persada antarabangsa,” katanya.

Rujukan :  http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Industrikreatifdipertingkat/Article

No comments:

Post a Comment