Industri kreatif dipertingkat
Oleh Shahrizan Salian
Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak melancarkan MyCreative
Ventures Sdn Bhd, cabang pelaburan kerajaan yang bermatlamat meningkatkan industri
kreatif tempatan ke tahap lebih tinggi.
Anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan yang
ditubuhkan pada 20 April lalu itu menerima peruntukan RM200 juta, yang akan
dilabur menerusi ekuiti atau pinjaman kepada syarikat kreatif tempatan berdaya
maju.
Perdana Menteri berkata, inisiatif itu akan memberi nafas
baru kepada industri kreatif tempatan di samping meningkatkan lagi standard
serta kepentingannya kepada ekonomi negara.
“Dengan adanya MyCreative Ventures, usahawan boleh
mendapatkan modal sama ada dalam bentuk ekuiti atau pinjaman.
“Modal itu menyediakan peluang kepada idea baru untuk
diketengahkan dalam bentuk model perniagaan berdaya maju dengan potensi menjana
pendapatan,” katanya berucap melancarkan MyCreative Ventures di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni
Hanadzlah; Pengerusi MyCreative Ventures, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan dan
Ketua Eksekutif MyCreative Ventures, Johan Mohamed Ishak.
Kembangkan bakat Najib berkata, kreativiti boleh dianggap
bakat yang ada pada ramai rakyat Malaysia. Namun, bakat yang tidak diberi
peluang berkembang akan membuatkannya terpendam atau terbatas.
“Sesuatu perkara itu perlu mempunyai nilai kreativiti, namun
ia perlu bersandarkan kepada model perniagaan mapan, jika tidak semua yang
diusahakan tidak berguna. Di sinilah letaknya hasrat kerajaan untuk memajukan
industri kreatif tempatan,” katanya.
Najib berkata, menerusi MyCreative Ventures, kerajaan akan
dapat mengukuhkan perjuangan industri kreatif di negara ini dengan sokongan
Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN).
Tertarik pemikiran kreatif
“Industri kreatif yang dimaksudkan itu terdiri daripada
bidang seni visual, seni persembahan, muzik, kesusasteraan, kandungan kreatif
seperti animasi dan perfileman, seni fesyen dan rekaan serta seni tradisional
seperti kraf tangan, batik dan sebagainya,” katanya.
Cadangan menubuhkan MyCreative Ventures itu juga katanya,
disebabkan beliau sendiri tertarik dengan corak pemikiran kreatif, khususnya
jika ada masalah yang memerlukan penyelesaian secara kreatif.
Pemikiran secara konvensional, katanya bermakna sesuatu
penyelesaian itu tidak dapat dicapai secara optimum, berlipat ganda serta
kreatif.
“Sebagai manusia, daya imaginasi kita tiada batasnya. Kita
mampu mencetuskan idea yang kreatif walaupun pada mulanya dianggap pelik, namun
akhirnya jika yakin dengan idea itu, ia pasti membuahkan kejayaan,” katanya.
Beliau memberi contoh kejayaan lagu rap terkenal Korea
Selatan, Oppa Gangnam Style oleh PSY yang berjaya menarik 149 juta tontonan di
YouTube sehingga dijadikan modal kempen calon presiden Amerika Syarikat dari
parti Republikan, Mitt Romney.
“Kita lihat kejayaan Korea yang sebelum ini terkenal dengan
bidang perindustrian dan teknologi dapat membangunkan bidang kreatif ‘K-Pop’
hingga mendapat tempat di persada antarabangsa,” katanya.
Rujukan : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Industrikreatifdipertingkat/Article